Buletin Penuh

USM cipta ‘lubuk’ emas larian jarak jauh SUKUM-44

USM cipta ‘lubuk’ emas larian jarak jauh SUKUM-44

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

KAJANG, 21 Sept – Tiga atlet Universiti Sains Malaysia (USM) meraih emas dalam acara 5,000 meter (m) lelaki veteran dan lelaki senior veteran Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 yang bermula di sini, hari ini.

Dalam kejohanan yang diadakan di Stadium Mini, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Khaifudin Daud mewakili lelaki veteran mencatatkan masa 20 minit 49.5 saat mengalahkan lapan peserta yang lain.

Pingat perak dan gangsa diperoleh oleh atlet Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Handy dengan catatan masa 21 minit 22.4 saat dan lawan sepasukan Zulkarnine Saking, 21 minit 23.7 saat.

Seterusnya bagi kategori lelaki senior, catatan masa terpantas oleh USM, A. Jegatheesvaran 20 minit 15.2 saat manakala Abdul Rahman Nle daripada UNIMAS di tempat kedua dengan catatan masa 25 minit 7.1 saat dan gangsa milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Shamsudin Mohd Noor catatan masa 25 minit 52.6 saat.  

Kategori lelaki senior pula, kilauan emas berjaya direbut oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Andri Dauni  18 minit 18.45 saat, manakala pingat perak diraih Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi atletnya,  Dr. Mohamad Rozi Kasim, 18 minit 23.15 saat dan pemenang pingat gangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Hazriq Awang, 18minit 55.95 saat.

Sementara itu, bagi acara 2000m, USM turut memboloti pingat emas bagi kategori wanita senior veteran yang diperoleh melalui larian atletnya, Dr Choong Yee Siew dengan catatan masa 9 minit 10.1 saat.

Bagi acara itu, pingat perak dirangkul oleh atlet UPSI, Dr Fariba Hossein Abadi dengan catatan masa 10 minit 17.6 saat manakala Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengalah ditempat ketiga menerusi atletnya Tan Lai Wai catatan masa 10 minit 17.9 saat.

Kategori wanita veteran melihatkan Dr Kaaminy a/p Kanapathy dari UPSI menepati ramalan sasarannya apabila berjaya membawa pulang pingat emas dengan catatan masa 9 minit 29.5 saat dan meninggalkan Aznorsam Salleh, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ditempat kedua dengan catatan masa 9 minit 44.2 saat, Norita Azmi, Universiti Malaya (UM) ditempat ketiga dengan catatan masa 9 minit 56.9 saat. – UPM 

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal