Buletin Penuh

UiTM gondol emas bola sepak senior atasi UPM 4-0

UiTM gondol emas bola sepak senior atasi UPM 4-0

Oleh Saufi Hamzah

SERDANG, 23 Sept – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menamatkan kemarau 13 tahun apabila menggondol pingat emas bola sepak senior selepas menundukkan Universiti Putra Malaysia (UPM) 4-0 pada aksi final Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 di Stadium UPM di sini, malam ini.

Dua gol pada separuh masa pertama dan dua gol lagi dalam separuh masa kedua sudah memadai buat anak buah Shah Reen Nizam Shahruddin untuk memastikan kilauan emas berada dalam genggaman mereka.

UiTM ternyata menguasai permainan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi penyerang sensasi mereka, Engku Syahrizal Kahpi Engku Halin, yang membuat larian di tepi padang untuk merembat masuk bagi meletakkan pasukan itu di depan dengan 1-0.

Muhammad Izman Solehin Rohadi menambah derita tuan rumah apabila meledak gol kedua UiTM pada minit ke-20 akibat kealpaan pertahanan UPM yang memberi ruang menjarakkan diri.

UPM seharusnya berupaya merapatkan jurang tetapi kesempatan yang diperolehi beberapa kali di mulut gol UiTM tidak dimanfaatkan dengan penyudah terbaik. 

Perlawanan babak pertama kekal 2-0 sehingga wisel penamat.

Babak separuh kedua terus memperlihatkan cengakaman UiTM dengan serangan bertali arus. Gol ketiga menerusi Mohamad Izwan Mohamad Rosli yang merembat cantik selepas melepasi kawalan pertahanan UPM pada minit ke-68.

Izaaq Izhan Yuswardi melengkapkan kemenangan UiTM dengan gol keempat pada minit ke-80 akibat salah faham pertahanan UPM di di depan gawang.

Shah Reen Nizam berkata, pasukan UiTM sudah menepati ramalan awal apabila mara ke final dan pastinya kejayaan merangkul pingat emas bola sepak senior menamatkan penantian mereka selama 13 tahun.

“Pemain membuat penyudah dengan menjaringkan gol pada setiap peluang yang berada di depan mata. Ini kunci kemenangan kami pada malam ini,” katanya.

Beliau berkata, biarpun UPM mengasak selepas ketinggalan dua gol tetapi mereka gagal membuat penyudah untuk menjaringkan gol.

Sementara itu, jurulatih UPM, Zalmie Jamlus berkata, kekalahan pada final berkenaan memberi pengajaran kepada anak buahnya memandangkan lawan mereka berada di tahap yang tinggi.

“Pengalaman menentang pasukan seperti UiTM sememangnya sesuatu yang berharga. Kita berusaha mencari gol tetapi pemain tidak memanfaatkan kesempatan yang ada,” katanya.

KEPUTUSAN BOLA SEPAK SENIOR:
Final – UiTM 4 UPM 0

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal