Buletin Penuh

UM singkir juara bertahan, UniMAP untuk mara ke separuh akhir

UM singkir juara bertahan, UniMAP untuk mara ke separuh akhir

Oleh Saufi Hamzah 

SERDANG, 21 Sept – Universiti Malaya (UM) berjaya mengharungi ranjau untuk melangkah ke separuh akhir bola sepak senior Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) edisi ke-44 di sini, hari ini.

Paling menggembirakan kem UM apabila kemenangan 3-2 yang dicapai menerusi sepakan penalti itu ialah kejayaan menumpaskan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang turun selaku juara bertahan kejohanan berkenaan ketika saingan suku akhir di Padang C.

Perlawanan terikat 1-1 sehingga wisel penamat sekali gus menyebabkan penentu pasukan yang layak ke separuh akhir diputuskan menerusi sepakan penalti.

Perlawanan sengit tercetus seawal perlawanan di antara kedua-dua pasukan apabila saling berbalas serangan dan percubaan berbahaya. 

Namun UM pantas menjarakkan diri apabila menyumbatkan gol pertama pada minit ke-2 menerusi Abdul Zarul Naem Abd Zaini yang menyepak leret melepasi jangkauan penjaga gawang UniMAP, Thinakron Som Boon. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak separuh masa kedua memperlihatkan UniMAP lebih menguasai perlawanan dengan mengasak ke kubu UM sehinggalah Muhamad Fairul Sawal dijatuhkan dalam kotak penalti. Rosmawadi Othman menyamakan kedudukan 1-1 apabila menyempurnakan penalti berkenaan pada minit ke-70 untuk skuad UniMAP.

Debaran ketika perlawanan suku akhir itu memuncak apabila keputusan 1-1 kekal sehingga tiupan wisel penamat.

Babak sepakan penalti yang menyusul akhirnya berpihak kepada UM apabila menang dengan 3-2 mengatasi UniMAP.

Tiga sepakan penalti UM disempurnakan oleh Mohd Ridzuan Abu Yamin, Mohd Raffi Mansor dan Muhammad Zul Fadzly Mohamed Nor Mala manakala penalti UniMAP dijaringkan oleh Rosmawadi dan Mohammad Sharil Abd Rasid.

Pengurus pasukan UM, Mohd Afif Abu Bakar berkata, kesilapan pada 10 minit terakhir menjadi punca lawan menyamakan kedudukan 1-1.

“Namun secara keseluruhan pemain sudah memberikan komitmen tertinggi mereka. Kita ubah format 4-3-3 kepada 5-3-2 selepas mengkaji perlawanan membabitkan UniMAP sebelum ini dan ternyata strategi berhasil untuk mendapatkan gol awal,” katanya.

Untuk rekod, UM pernah mara ke separuh akhir pada 2012 ketika temasya SUKUM berlangsung di Sintok, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengurus UniMAP, Mazlan Abdul Hamid pula berkata, pasukan itu hanya mampu berserah apabila penentuan perlawanan menerusi sepakan penalti.

“Kita cuba elak penalti tetapi apa kan daya. UM memang beri tentangan hebat hari ini tapi kita memberi saingan yang baik dan cuma nasib tidak berpihak kepada UniMAP,” katanya.

Sementara itu, perlawanan suku akhir lain menyaksikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menewaskan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 4-0 manakala tuan rumah, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengalahkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2-0 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menundukkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2-0.

Saingan bola sepak senior bersambung esok dengan perlawanan peringkat separuh akhir.

 

 

 

KEPUTUSAN: bola sepak senior (suku akhir)

 

 

 

UMT 1 UTM  2; UKM 0 UPM 2; UniMAP 1 UM 1 (UM mara dengan penalti 3-2); UMK 0 UiTM 4.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal