Buletin Penuh

Kuartet 4x100m wanita UPM cipta semula emas

Kuartet 4x100m wanita UPM cipta semula emas

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

KAJANG, 21 Sept – “Pingat emas milik kita UPM!” Begitulah laungan gembira pelari keempat kuartet 4x100 meter (m), Mazita Talib, dalam acara wanita senior setelah berjaya meraih emas pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) di sini, hari ini.

Beliau berkata gandingan mantap pasukannya membolehkan emas menjadi milik Universiti Putra Malaysia (UPM) pada kali ini berbanding pingat gangsa pada edisi SUKUM yang lalu.

“Sebagai pelari terakhir saya akui sememangnya larian terakhir tadi sangat sengit dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Terima kasih rakan-rakan sepasukan kerana telah membuat yang terbaik dalam larian masing-masing,” katanya.

Kuartet UPM berjaya menamatkan larian dengan rekod 60.6s manakala UKM, 61.1s disusuli Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang meraih gangsa dengan catatan 62.8s.

Sementara itu, pelari 400m lelaki senior, UPM, Kannathan a/l Subramaniam juga meluahkan rasa gembira apabila menggondol emas dalam acara tersebut pada SUKUM 2022 di Stadium Mini Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), hari ini.

“Saya turut gembira apabila dapat bertemu semula kawan-kawan lama yang juga bekas atlet yang dahulunya kami bersama bertanding di SUKIPT atau SUKMA kini mewakili universiti masing-masing dalam SUKUM,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang sebelum ini menjadi atlet Malaysia dalam acara 200m dan 400m  berkata rekod lariannya dengan catatan 54.9s bukanlah rekod terbaik mahupun rekod baharu catatan peribadinya. – UPM 

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal