Buletin Penuh

Cukup Sekadar Gangsa

Cukup Sekadar Gangsa

Oleh Assharaff Khan

KAJANG 22 Sept- Harapan tuan rumah Universiti Putra Malaysia untuk mendapatkan sekurang-kurangnya perak terbantut apabila tewas di perlawanan separuh akhir acara bola tampar wanita Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 di Kompleks Semarak INSPEN Bangi.

Harapan pasukan UPM membawa pingat emas atau perak dalam acara bola tampar sepenuhnya terletak pada pasukan wanita kerana pasukan bola tampar lelaki telah tewas di dalam perlawanan semalam menentang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di peringkat suku akhir kalah mati.

Pasukan bola tampar wanita UPM tewas terhadap Universiti Malaya (UM) 25-10, 25-11 dan 25-16 sekaligus menggagalkan hasrat tuan rumah itu untuk berada dalam perlawanan penentuan juara dan naib juara bola tampar wanita pada sebelah petang.

Pengurus pasukan UPM, Khadzamah Khalid berkata, mereka tetap bersyukur walaupun hanya mampu menyumbang pingat gangsa untuk temasya SUKUM kali ini.
Hasrat pasukan UM untuk sekali lagi bertemu dengan pasukan bola tampar wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) di final tercapai apabila UMS berjaya menumpaskan pasukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 25-10, 25-15 dan 25-19 yang menjadikan pingat gangsa milik bersama anatara pasukan UniMAP dan UPM.

Perlawanan bola tampar lelaki di gelanggang B menyaksikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya mara ke final selepas menewaskan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 25-13, 25-18, dan 25-17 di peringkat separuh akhir pada perlawanan sebelah pagi.

Di gelanggang A, perlawanan lebih hangat apabila mempertemukan juara SUKUM 2018 iaitu pasukan bola tampar lelaki Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  yang berjaya ditewaskan pasukan bertahan  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 29-27, 15-35, 25-23, dan 25-12 sekaligus melayakkan UMT ke peringkat final menentang UniSZA bagi acara bola tampar lelaki SUKUM 2022 di Kompleks Semarak INSPEN Bangi.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal