Buletin Penuh

UPM tempah tiket ke final selepas tundukkan UTM 3-0

UPM tempah tiket ke final selepas tundukkan UTM 3-0

Oleh Saufi Hamzah

SERDANG, 22 Sept – Tuan rumah, Universiti Putra Malaysia (UPM) melangkah ke final selepas menundukkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 3-0 pada aksi separuh akhir bola sepak senior Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 di Padang C, di sini, hari ini.

Mohammad Azuan Amran muncul wira UPM apabila meledakkan gol pada minit ke-30 dan ke-32 manakala gol pembukaan dijaringkan oleh kapten, Mohamad Hariz Fazrin Mohd Nazri pada minit ke-8 perlawanan untuk memastikan kemaraan mereka selepas UTM memberikan tentangan sengit.

Anak buah Zalmie Jamlus mengasak sebaik sepak mula untuk mencari gol pembukaan. Mohamad Haris Fazrin yang menghidu peluang merembat cantik melepasi jangkauan penjaga gawang UTM, Abdul Malek Hassan untuk gol pertama tuan rumah.

Pada 10 minit terakhir babak pertama, UPM terus berada di depan menerusi gol Mohamad Azuan yang mendapat umpanan Mohamad Hariz Fazrin bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-30.

Mohamad Azuan sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila hantaran Izzul Muzakkir Aris menemui kakinya untuk gol ketiga pada minit ke-32 sambil diiringi sorakan penyokong tuan rumah. 

Terdahulu, UTM yang tersentak berusaha habis-habisan untuk merapatkan jurang dan hampir berhasil pada minit ke-24 apabila sepakan percuma, Shahrul Izzat Abdul Manab ditepis penjaga gawang UPM, Ahmad Khairuddin Mat Yusoff.

UTM sekali lagi hampir mendapatkan gol apabila Muhamad Syahmi Mohamad Fadzli dijatuhkan dalam kotak penalti tetapi dinafikan penalti oleh pengadil perlawanan.

Babak kedua perlawanan memperlihatkan UPM berusaha menambah gol manakala UTM mahu merapatkan jurang. 

Peluang hadir di depan mulut gol lawan apabila umpanan Mohamad Hariz Fazrin gagal dimanfaatkan rakan sepasukan manakala percubaan Khairul Amri Mohamed Saroji terus ke dakapan Abdul Malek. 

Ini diikuti sepakan percuma yang diambil Muhammad Izuan Muhammad Hat yang hanya menggegar palang UTM.

UTM yang berusaha melancarkan serangan pada penghujung minit perlawanan tetapi tidak berupaya menjaringkan gol. 

Pujian harus diberikan kepada Mohamad Hariz Fazrin kerana mempamerkan kematangan mengemudi rakan sepasukan untuk mempertahankan kedudukan 3-0 sehingga wisel penamat.

Jurulatih UPM, Zalmie Jamlus berkata, secara keseluruhan anak buahnya menunjukkan keserasian apabila bermain ketika menentang UTM.

“Kita ‘settle down’ awal yang menyebabkan jaringan dapat dihasilkan. Selepas mendapat tiga gol pada separuh masa pertama, saya arahkan pemain supaya lebih mencipta peluang daripada gol,” katanya. 

Pembimbing UTM, Khairul Ali, pula berkata, pemainnya tetap dipuji biarpun tewas dalam perlawanan separuh akhir itu.

Sementara itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut melangkah ke final selepas menundukkan Universiti Malaya (UM) 3-0 pada separuh akhir di Padang A.

UiTM membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Muhammad Izaman Solehin Rohadi. UiTM terus di depan apabila pemain UM, Mohd Zul Fadzly Mohamed Nor Mala Shasuddin menghadiahkan gol sendiri pada minit ke-8 menjadikan kedudukan 2-0.

Mohd Ridzuan Abu Yamin kemudiannya menyumbatkan gol ketiga UiTM pada minit ke-27. Kedudukan kekal 3-0 sehingga wisel penamat.

UPM akan menentang UiTM pada perlawanan final di Stadium UPM jam 8.30 malam esok.

KEPUTUSAN: bola sepak senior (separuh akhir)
UTM 0 UPM 3; UM 0 UiTM 3.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal