Buletin Penuh

USM BERTEMU UTM DI PUSINGAN AKHIR

USM BERTEMU UTM DI PUSINGAN AKHIR

Oleh: Faruq Irsyad bin Razali

SERDANG, 23 SEPTEMBER – Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi perlawanan apabila berjaya mengalahkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan jaringan 4-3 dalam saingan peringkat separuh akhir acara bola sepak veteran pada Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM), 2022.

Perlawanan di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM) pagi ini menyaksikan saingan yang cukup sengit daripada kedua pasukan setelah seri 2-2 pada akhir perlawanan. USM kemudiannya memenangi perlawanan melalui sepakan penalti dan melayakkan diri ke pusingan akhir.

“Apa yang saya cakap pada mula dulu, USM memang menyasarkan final dan alhamdulilah sasaran itu tercapai pada hari ini. Sememangnya perjalanan nak sampai ke final memang jauh sebab kita berlawan dengan pasukan-pasukan yang cukup hebat”. Kata Zairi Mohd Noor (46), pemain tengah USM.

“Tapi kita tetap akan teruskan sebab sasaran kita adalah pingat emas, ibu segala pingat” tambahnya lagi.

Turut mara ke pusingan akhir adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengalahkan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) 1-0 di Padang C, UPM.

Perlawanan itu menyaksikan pemain jersi 12, Muhammad Fitri Amir menjaringkan gol pada minit ke-28 sebelum separuh masa pertama berakhir.

Gol tersebut terus dipertahankan sehingga ke akhir perlawanan seterusnya melayakkan diri ke pusingan akhir.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan UIA kerana memberikan saingan yang hebat pada hari ini dan kepada semua yang terlibat dalam usaha UTM untuk sampai ke final.

Sasaran kita yang seterusnya sudah tentu pingat emas, ibu segala pingat” kata Masnawi Misdam (50), pengurus pasukan UTM.

UTM akan bertemu dengan USM pada peringkat akhir perlawanan bola sepak veteran Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM), 2022 di Stadium UPM pada pagi esok. - UPM

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal