Buletin Penuh

FOOTGOLF UM SASAR 2 PINGAT EMAS

FOOTGOLF UM SASAR 2 PINGAT EMAS

Oleh Saufi Hamzah

SHAH ALAM, 16 Sept – Skuad footgolf Universiti Malaya (UM) menyasarkan sekurang-kurangnya dua pingat pada temasya Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 di Pusat Golf Bukit Jelutong, di sini, bermula esok.

Pengurus pasukan footgolf UM, Mohd Nor Zaidi Abdullah, berkata berbekalkan persiapan rapi menjelang SUKUM, UM berjanji memberikan persembahan terbaik bagi memastikan sasaran berkenaan dapat dicapai.

“Kita menyedari saingan sengit bakal dipamerkan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Namun pemain UM akan memberikan tentangan terbaik ketika perlawanan esok. Kita meletakkan sasaran pingat emas bagi kategori senior dan perak untuk kategori veteran,” katanya ketika ditemui di Pusat Golf Bukit Jelutong.

Acara footgolf ialah sukan yang menggabungkan dua sukan iaitu bola sepak dan golf. Ia dimainkan di atas padang golf dan cara permainannya hampir sama dengan golf. 

Cuma perbezaannya, kayu golf dan bola golf digantikan dengan kaki pemain dan bola sepak.

Bagi SUKUM, footgolf dibahagikan kepada kategori senior dan veteran.

Sehubungan itu, pemain harapan UM, Hafzal Hisham Mohd Yusof, berkata persiapan menerusi latihan bersama rakan sepasukan adalah mencukupi untuk mengharungi saingan SUKUM.

“Rata-rata pemain aktif menyertai pertandingan liga footgolf di sini. Kita berhasrat menaiki podium apabila bertanding dalam sukan ini yang julung kali diperkenalkan,” katanya.
 
Sementara itu, jadual perlawanan acara footgolf esok bakal menyaksikan aksi kategori lelaki veteran, individu veteran, berpasukan lelaki senior dan individu senior.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal