Buletin Penuh

UiTM dan UPNM kuasai kategori footgolf veteran

UiTM dan UPNM kuasai kategori footgolf veteran

Oleh Saufi Hamzah

SHAH ALAM, 17 Sept – Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkul pingat emas acara footgolf berpasukan veteran manakala pemain Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohd Razlan Shah Mohamad Rabii menguasai  individu veteran ketika  saingan amat sengit dalam Sukan Staf Antara Universiti (SUKUM) 2022 di Pusat Golf Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

UiTM terutamanya boleh menarik nafas lega apabila penentuan pemenang pingat emas menggunakan format On Count Back (OCB) apabila mereka dan Universiti Malaya (UM) terikat dengan 215 mata. OCB bermaksud pengiraan mata dalam sembilan lubang pertama bagi menentukan pemenang.

Bagi individu veteran, perbezaan cuma satu mata memisahkan Mohd Razlan Shah dan Mohd Hasrul Hasan yang memikul cabaran Universiti Putra Malaysia (UPM). Saingan menyaksikan Mohd Razlan Shah meraih 64 mata manakala Mohd Hasrul dengan 65 mata.

Pengurus pasukan UiTM, Mohd Nizam Othman, berkata Wan Faizal Iskandar Wan Abdullah muncul pemain paling cemerlang yang menjadi pencetus kemenangan pasukan mereka.

“UiTM meletakkan sasaran pingat emas untuk veteran lelaki dan ternyata ia menjadi kenyataan buat kami. Secara keseluruhan pemain pasukan ini menunjukkan prestasi terbaik mereka sepanjang permainan hari ini. 

“Apapun, tidak dinafikan saingan dan cabaran datang daripada pelbagai aspek. Permukaan padang, kemunculan air dan embun di atas padang menyebabkan gangguan terhadap sepakan dan bola berhenti awal serta risiko terjatuh ketika menendang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan footgolf kategori veteran di Pusat Golf Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, pengurus pasukan Universiti Malaya (UM), Mohd Nor Zaidi Abdullah menyifatkan pingat perak yang diraih dalam berpasukan veteran  adalah memuaskan biarpun meletakkan sasaran kilauan emas.

“Setiap pemain sudah mempamerkan prestasi terbaik mereka. Kita akui keadaan padang pada waktu pagi lebih mencabar memandangkan air yang membasahi permukaan,” katanya.

Pengurus pasukan UPM, Mohd Izarudin Idris, pula berkata mereka akur dengan pingat gangsa memandangkan saingan amat sengit terutama tentangan daripada pasukan UiTM dan UM.

Bagi Mohd Razlan Shah, kejayaan meraih pingat emas bagi individu veteran adalah bonus kerana dirinya tidak menyasarkan pingat emas berikutan kehadiran saingan sengit daripada UPM dan UiTM.

“Wakil UPM dan UiTM memulakan permainan dalam flight yang sama dengan saya menyebabkan terasa sengit sehinggalah ke lubang terakhir. Mungkin rezeki saya untuk menang emas hari ini,” katanya.

Berbeza pula emosi yang melanda Mohd Hasrul kerana satu mata yang memisahkan dirinya dengan pingat emas. “Kecewa sudah pasti bila keadaan begini berlaku. Apapun, saya dan rakan sepasukan sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

KEPUTUSAN: 

Berpasukan veteran: 1. UiTM 215 mata; 2 UM 215 mata; 3 UPM 222 mata.
(Berdasarkan On Count Back UiTM diisytihar pemenang)

Individu veteran: 1. Mohd Razlan Shah Mohamad Rabii (UPNM) 64 mata; 2. Mohd Hasrul Hasan (UPM) 65 mata; 3. Wan Faisal Iskandar Wan Abdullah (UiTM) 67 mata.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal