Buletin Penuh

UM, UiTM rangkul emas footgolf senior

UM, UiTM rangkul emas footgolf senior

Oleh Saufi Hamzah

SHAH ALAM, 17 Sept – Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) masing-masing menggondol satu pingat emas dalam saingan footgolf senior Sukan Staf Antara Universiti (SUKUM) 2022 di Pusat Golf Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

UM yang dibarisi Hafzal Hisham Mohd Yusof, Mohd Akmal Ahmad, Mohd Khairul Hasikim Mohd Sofian dan Mohd Ajib Hashim berjaya mengetepikan tentangan daripada skuad Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

Skuad bimbingan Muhamad Saufe Khalid itu mengutip 204 mata manakala UPM dan UiTM menamatkan saingan dengan 213 dan 217 mata.

Dalam pada itu, pemain UiTM, Muhammad Khairul Akhyar Husain mencuri tumpuan apabila menggenggam emas individu senior selepas mengumpul 66 mata, mengatasi cabaran Hafzal Hisham Mohd Yusof dari Universiti Malaya (UM) dan Mohd Razlan Shah Mohamad Rabaii yang terikat dengan 67 mata.

Muhamad Saufe berkata, setiap pemain dalam skuad itu harus diberi pujian kerana kekal fokus sepanjang permainan dan mengekalkan momentum terbaik mereka.

“Ayam tambatan kami iaitu Hafzal Hisham dan Mohd Ajib menunjukkan kematangan ketika diberi tentangan hebat di setiap lubang daripada pasukan lain. Saya cuma mengingatkan mereka supaya tenang ketika permainan.

“Mereka memanfaatkan kesempatan ketika latihan harian untuk dijadikan penyuntik semangat bagi mengharungi permainan hari ini. Ternyata latihan secara konsisten yang dijalani pemain UM membuahkan hasil sehingga berjaya meraih emas,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah footgolf senior di Padang Golf Bukit Jelutong, di sini.

Ketika ditanya mengenai footgolf yang diperkenalkan julung kali dalam SUKUM, Muhamad Saufe berkata, acara itu patut diteruskan pada temasya akan datang dan mencadangkan supaya universiti tempatan mewujudkan padang footgolf untuk menjana pendapatan.

Sementara itu, Muhammad Khairul Akhyar berkata, dirinya tidak menyangka untuk membawa pulang pingat emas bagi individu senior memandangkan lawan adalah kenalan yang biasa turun ke padang bersama.

Katanya, pingat emas yang diraih juga perlu dikongsi dengan rakan sepasukan UiTM.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal