Buletin Penuh

SUKUM: Universiti Malaya belasah KPT 4-0

SUKUM: Universiti Malaya belasah KPT 4-0

Oleh Saufi Hamzah 

SERDANG, 18 Sept – Universiti Malaya (UM) memulakan kempen dengan garang apabila membelasah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 4-0 dalam saingan peringkat kumpulan acara bola sepak senior pada Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 di sini, hari ini.
UM ternyata tidak menunggu lama apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-3 menerusi Mohd Khairul Hasikim Mohd Sofian ketika perlawanan Kumpulan A di Padang B, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Gol kedua UM menyusul pada minit ke-12 hasil sentuhan Abdul Zarul Naem Abd Zaini.

Perlawanan babak separuh masa kedua pula, menyaksikan UM mencipta gol ketiga menerusi Muhammad Nazrin Zulgafli pada minit ke-58.

Skuad UM mengukuhkan cengkaman apabila gol keempat pada minit ke-82 hasil rembatan Mohd Raffi Mansor melengkapkan kemenangan mereka.

Penyerang UM, Mohd Khairul Hasikim berkata, kemenangan pertama yang dicapai pasukan itu amat penting sekali gus menjadi tonik untuk memburu kemenangan kedua apabila berdepan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) esok.

“Perlawanan bermula agak seimbang namun selepas itu, kami berjaya menguasai kedua-dua babak bagi mencetak dua gol. Sekarang masa untuk fokus untuk perlawanan esok,” katanya selepas perlawanan.

Selain itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menundukkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 2-1 pada saingan Kumpulan D di Padang A.

Mohd Humaidi Samsuddin muncul ayam tambatan UniMAP apabila menyumbatkan dua gol pada minit ke-40 dan ke-77 bagi mengesahkan kemenangan mereka. 

Terdahulu, Muhammad Faiz Farhan Rushdan meletakkan UPNM di depan 1-0 menerusi gol pada minit ke-27.

Saingan Kumpulan C di antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) pula berkesudahan dengan 1-0. 

Zul Yusri Che Harun menyumbatkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 untuk memastikan kemenangan UMK bagi mencerahkan peluang ke peringkat suku akhir.

Kapten UMK, Azhar Mohd Nawi berkata, dirinya berpuas hati dengan prestasi rakan sepasukan untuk meraih mata berharga.

“Biarpun kami hadir di sini dengan keadaan yang serba kekurangan iaitu tempoh latihan dan cabaran mencari pemain.  Sudah pasti kemenangan ini amat berharga,” katanya. 

Bagi jurulatih IIUM, Hairy Azly Muhamad, menyifatkan pasukannya tidak bernasib baik apabila tiga kali percubaan mereka terkena palang.

“Kita menguasai perlawanan, cuma mungkin pemain masih lemah dalam aspek membuat keputusan untuk mencipta gol. Malah kita tiada striker dan terpaksa menggunakan pemain sayap untuk mengisi posisi itu,” katanya.

Sementara itu, saingan bola sepak kategori veteran menyaksikan UMT kenduri gol apabila membelasah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 6-1 dalam kumpulan C manakala tuan rumah, UPM seri tanpa jaringan ketika menentang Universiti Sains Malaysia (USM).

Keputusan (bola sepak): 
Senior: KPT 0 UM 4; UKM 0 UiTM 1; UniMAP 2 UPNM 1; IIUM 0 UMK 1
Veteran: UPSI 0 UniMAP 3; USM 0 UPM 0; UTeM 3 UMK 1; UTM 2 UiTM 1; UKM 3 UM 1; USIM 1 UMT 6.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal