Buletin Penuh

SUKUM 2022 perkenal kategori baharu acara berbasikal

SUKUM 2022 perkenal kategori baharu acara berbasikal

SERDANG, 18 September – Buat julung kalinya, Kejohanan Sukan Staf Universiti (SUKUM) 2022 memperkenalkan kategori baharu bagi acara berbasikal iaitu Wanita Terbuka dan Time Trial (TT) untuk Kategori Lelaki dan Wanita pada kejohanan tersebut.

Pengurus Pasukan Berbasikal UniMAP, Mohammad Tamizi Selimin berkata melalui penambahan kategori baharu itu, ia secara langsung dapat menggalakkan staf Universiti Awam (UA) terutamanya wanita untuk menyertai sukan berbasikal.

“Saya berharap pihak penganjur akan mengekalkan acara itu dan juga mungkin di masa depan akan bertambahnya kategori lain untuk sukan berbasikal yang akan memberi manfaat kepada staf di masa depan,” katanya. 

Bagi kategori berbasikal TT dijuarai oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang disertai oleh Mustaqqim Abdul Rahim, Mohammad Shukri Ardzmi dan Nurul Ashikin Mohd Josrie.

Mohammad Tamizi berkata, persiapan telah dilakukan secara berkala dan mengenalpasti staf berpotensi dalam tempoh masa enam bulan. Kemudiannya, pihaknya telah melakukan penilaian untuk staf yang berminat menyertai pasukan berbasikal UniMAP. 

“Kemudian pihak kami telah mengasah bakat staf mengikut kategori yang bakal dipertandingkan contohnya acara berbasikal wanita kerana kita tidak pernah ada atlet wanita berbasikal.

“Ini adalah kejohanan kali pertama yang melibatkan staf wanita berbasikal serta kami melatih dan mencari staf  yang berminat serta mendapatkan nasihat teknikal dari segi kemahiran atau keupayaan staf untuk sukan berbasikal,” katanya. 

Selain itu, bagi kategori acara berbasikal lumba Road Bike (RB) Terbuka Wanita dijuarai oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disertai oleh Mariyam Jameelah Ghazali dan Nik Anura Safiya Nik Rusdi.

Mariyam Jameelah berkata, beliau tidak menyangka untuk menjuarai  dalam acara itu atas faktor peringkat umur beliau. 

"UKM berjaya mencapai pingat emas dan pingat perak kerana pihak kami telah merangka strategi bersama dengan ahli pasukan untuk mengatasi cabaran semasa perlumbaan.

"Saya tidak meninggalkan rakan sepasukan saya untuk mengejar pingat emas berseorangan dan akan sentiasa bekerjasama dengan ahli sepasukan untuk mencapai kejayaan bersama," katanya.

Tambah beliau, harapannya bagi SUKUM akan datang adalah untuk lebih ramai staf wanita menyertai sukan berbasikal kerana beliau ingin setiap kategori perlumbaan berbasikal ini mempunyai kategori yang boleh disertai oleh atlet staf berbasikal wanita . 

Selain itu, Pengurus Kelab Basikal UKM, Mohd Aliff Omar berkata, beliau bersyukur atas kejayaan yang telah diperolehi oleh ahli pasukan beliau. 

"Kejayaan yang diperolehi pada hari ini adalah atas berkat usaha ahli pasukan sendiri serta kesemua atlet staf dibantu oleh jurulatih, Pusat Sukan dan Pusat Tanggungjawab masing-masing," katanya.

Sementara itu bagi acara berbasikal Kategori Veteran dijuarai Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hisham Basrul Jaafar dan kategori VIP dijuarai oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Mohd Fakhrurrazi Ishak.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal