Buletin Penuh

Tuan rumah lakar kemenangan 2-0 ke atas UMK

Tuan rumah lakar kemenangan 2-0 ke atas UMK

Oleh Saufi Hamzah

SERDANG, 19 Sept – Tuan rumah, Universiti Putra Malaysia (UPM) mempamerkan aksi cemerlang untuk melakar kemenangan 2-0 ketika menentang Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada aksi Kumpulan C bola sepak senior Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 di sini, hari ini.

Skuad bimbingan Zalmie Jamlus membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi rembatan Mohd Fadli Abd Halim selepas menerima umpanan cantik daripada Muhammad Izuan Muhammad Hat sewaktu UPM mengasak di depan gawang UMK dalam perlawanan di Padang C.

Permainan bertambah sengit apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan pada pertengahan babak separuh masa pertama termasuk melakukan beberapa percubaan di depan gawang gol.

Peluang keemasan UMK muncul apabila Nor Hizami Hassin yang sudah memperdaya penjaga gol UPM, Ahmad Khairuddin Mat Yusof tetapi mensia-siakannya apabila membuat penyudah lembik.

Sejurus kemudian, UPM membalas dengan rembatan bertali arus dalam kotak penalti UMK tetapi tidak menghadirkan gol tambahan pada penghujung babak separuh masa pertama.

Sehubungan itu, anak buah Mohd Zulhusmie Mohd Nasir berusaha menyamakan kedudukan pada babak separuh masa kedua namun gol yang dicari masih tidak kesampaian.

Sebaliknya, UPM terus mengasak dengan percubaan demi percubaan termasuk peluang diperolehi Izzul Muzakkir Aris yang gagal membuat penyudah berbisa ketika hanya berdepan penjaga gol UMK, Ahmad Ezihan Shafizie Sazali manakala sepakan percuma Mohammad Azuan Amran pula terkena tiang gol.

Akhirnya, gol kedua yang diburu tuan rumah muncul pada minit ke-65 menerusi Mohamad Hariz Fazrin Mohd Nazri yang memanfaatkan hantaran Izzul Muzakkir untuk merobek gawang UMK sekali gus menjadikan kedudukan 2-0.

UMK hampir merapatkan jurang apabila sepakan percuma Noriman Jaafar berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah, Ahmad Khairuddin pada beberapa minit akhir perlawanan.

Zalmie yang ditemui selepas tamat perlawanan berkata, biarpun mencatatkan kemenangan 2-0 tetapi dirinya masih tidak berpuas hati dengan prestasi keseluruhan anak buahnya dan menyifatkan masih ada ruang untuk memperbaiki persembahan pada perlawanan berikutnya.

“Saya lega kerana lawan tidak mempamerkan tentangan yang cukup padu. Jika sebaliknya, kemungkinan keputusan berbeza pada hari ini. Apapun, saya puji kesemua pemain terutama pertahanan, Muhamad Zulhelmi Zamri yang mengemudi dengan baik apabila menyekat percubaan berbahaya pihak lawan,” katanya.

Mohd Zulhusmie pula berkata, pemain UMK tidak mendapat rehat secukupnya selepas menentang pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) yang mungkin menjejaskan stamina mereka ketika berdepan UPM.

“Kini UMK bergantung kepada keputusan UPM yang turun menentang IIUM untuk menentukan slot ke suku akhir,” katanya.

Sementara itu,  dalam perlawanan Kumpulan A, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menundukkan Universiti Malaya (UM) 2-1 manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) membelasah Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) 4-1 bagi aksi Kumpulan B dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengalahkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 3-0 bagi Kumpulan D.

Jadual esok bakal menyaksikan UMT turun melawan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), USIM bertemu UKM, UTM menentang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan UPM berdepan IIUM.

Keputusan: bola sepak senior
UM 1 UMT 2; UiTM 4 USIM 1; UPNM 0 UTM 3; UMK 0 UPM 2.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal