Buletin Penuh

Hatrik Muhammad Nur Amirnudin bantu UMT belasah KPT 5-0

Hatrik Muhammad Nur Amirnudin bantu UMT belasah KPT 5-0

Oleh Saufi Hamzah

SERDANG, 20 Sept – Hatrik berbisa Muhammad Nur Amirnudin Jerfi mencetuskan kemenangan buat kem Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ketika membelasah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 5-0 pada perlawanan peringkat kumpulan D bola sepak Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) di sini, hari ini.

Tiga gol sentuhan penyerang UMT itu pada minit ke-13, ke-25 dan ke-43 pada separuh masa pertama memperlihatkan kubu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mudah dibolosi ketika aksi berlangsung di Padang B.

Biarpun UMT tersentak apabila belum mendapatkan rentak sempurna ketika KPT melancarkan serangan pada 10 minit awal tetapi gol pertama Muhammad Nur Amirnudin memecah kebuntuan sekali gus menyemarakkan tekanan ke arah kubu lawan.

Separuh masa kedua memperlihatkan UMT melancarkan asakan demi asakan untuk meraih gol keempat menerusi Mohd Syafiq Aizat Abdul Aziz yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54. 

Pengadil memberikan sepakan penalti selepas Muhammad Nur Amirnudin dikasari dalam kotak penalti kubu pertahanan KPT.

Gol kelima UMT menerusi Mohammad Fadzilah Mohd Nor pada minit ke-65 melengkapkan kemenangan bergaya UMT sekali gus muncul juara Kumpulan A.

Kapten UMT, Syed Shahrul Afzan Syed Bidin berkata, mereka berpuas hati dengan keputusan perlawanan itu untuk memberikan kelebihan apabila undian peringkat suku akhir diadakan pada malam ini.

“Selaku juara kumpulan ada sedikit kelebihan apabila menanti lawan bagi peringkat suku akhir. Saya dan rakan sepasukan ingin merakamkan penghargaan kepada jurulatih, Muhamad Yasin yang sentiasa memberi arahan kepada pemain,” katanya ketika ditemui sejurus selepas tamat perlawanan.

Syed Shahrul Afzan berkata, format permainan pada suku akhir akan ditentukan oleh jurulatih untuk membolehkan skuad UMT mara ke separuh akhir.

Saingan Kumpulan D pula menyaksikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menundukkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2-0 pada perlawanan di Padang A.

UniMAP selaku juara bertahan membuka tirai jaringan menerusi Rosmawadi Othman pada minit ke-57 selepas lariannya di hujung padang dan disusuli sepakan lambung berjaya memperdaya penjaga gol UTM, Megat Mohd Shahimi Noh.

Penalti pada minit ke-70 yang disempurnakan Muhd Humaidi Samsuddin menjadikan kedudukan 2-0 selepas Rosmawadi dijatuhkan dalam kotak penalti UTM.

Pengurus UniMAP, Mazlan Abdul Hamid berkata, mereka lega apabila berjaya mengutip enam mata untuk muncul juara Kumpulan D. 

“Pujian harus diberikan kesemua pemain terutama kapten, Anas Shaharom yang mempamerkan kematangan memimpin sepanjang perlawanan,” katanya.

Jurulatih UTM, Khairul Ali pula menyifatkan kemungkinan sebahagian pemain kesebelasan utama yang direhatkan untuk saingan suku akhir menjadi punca kekalahan mereka.

“Kami gagal menyempurnakan beberapa peluang untuk menghasilkan gol. Kelemahan pertahanan turut menjadi faktor kekalahan dalam perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, tuan rumah, Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat kemenangan kedua apabila mengalahkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) 2-1 dalam saingan Kumpulan C.

Gol UPM diperolehi menerusi Izzul Muzakkir Aris pada minit ke-3 dan Mohamad Hariz Fazrin Mohd Nazri pada minit ke-43. Gol IIUM pula dijaringkan oleh Amirul Asraf Abu Talib pada minit ke-48.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula seri 1-1 ketika menentang Universiti Kebangsaan bagi perlawanan peringkat Kumpulan B.


KEPUTUSAN: bola sepak senior 
UMT 5 KPT 0; USIM 1 UKM 1; UTM 0 UniMAP 2; UPM 2 IIUM 1.

Kembali

17

Sukan Dipertandingkan

102

Acara Dipertandingkan

22

Pasukan Didaftarkan

21

Pasukan Daftar Awal